Monday, July 18, 2005
Ku damba cermin persahabatan
CERMIN PERSAHABATAN
Ke mana pun hati yang lara dibawa berlari
Ke mana pun hati yang terluka dibawa menyelami
Ke puncak gunung atau ke dasar jeladiri
Mungkinkah terpancar ketenangan pada sanubari….
Jiwa berkelana tanpa tentu arah
Sirnalah kegembiraan pada wajah
Senyuman hanya pada lahiriah
Akal yang pernah cerah
Kini disurami kelam
Kelam suram
Kekata kejam menghunjam
Aduh mencengkam!
Menjadikan hati yang selama ini terlalu rela berkorban….
Rasa dipersiakan
Menjadikan hati yang sentiasa sedia ada menghulurkan…
Tergaris dan tergores
Fitrah insani ingin dihargai oleh insan bergelar teman
Namun dalam bertungkus-lumus menghidupkan unggun harapan
Kepada jiwa nan ketandusan
Berlaungan dalam dasar hatiku selaku manusia biasa
Meskipun tiada jelas kedengaran oleh mereka
Jeritan batin tertanya-tanya….
Apakah diri ini diciptakan sekadar untuk dipersiakan?
Apakah diri ini harus menempuh suratan berseorangan?
Apakah diri ini sekadar genting yang melindungi?
Dibasahi lebatnya hujan yang menari-nari
Disinari hangatnya pancaran mentari setiap hari
Namun tiada siapa yang sudi ambil peduli
Akan nasib genting yang menaungi
Kepada mereka yang kuambil peduli
Inginku bertanya meskipun tiada keberanian di hati
Kerana selama ini ketulusan yang didambakan
Kuharap biarlah dari lubuk hati kalian
Yang seharusnya cukup seni untuk merasakan
Kuharap biarlah dari jangkauan akal kalian yang memikirkan
Akan keperluan yang kudambakan selaku insan
Lantas kerana itu jeritan batin ini tidak pernah mahu menzahirkan
Kerana kupercaya… ketulusan pengorbanan pengertian
Adalah bersalingan
Bukan hasil daripada suatu permintaan
Jauh sekali suatu tuntutan
Hanya sekadar mendambakan pancaran
Tatkala menghadapkan diri pada cermin persahabatan
Namun hingga kini masih kehampaan
Kerana ketika aku menghadapkan diri pada cermin itu
Kalian entah di mana tanpa kutahu
Berdiri kaku aku di situ
Minda dan jiwa membeku
Dalam longlai kaki berlari
Berbisik lagi di sanubari….Tidakkah wahai temanku, sudi menerima kecacatan diri
Sukarkah suatu kesudianmu, memaafkan kesilapan yang kucalari
Mahalkah harga kesudianmu mengambil tahu semantik senduku yang sepi
Dalam menghitung hari
Kuberserah kepada Zat yang Maha Mengasihani
Kerana hati-hati kami milikmu Ilahi
Andai aku ini diciptakan untuk mereka
Ikhlaskanlah jiwa dalam segala pengorbanan meskipun sengsara
Andai mereka tidak diciptakan untukku semata
Ikhlaskanlah diri ini dalam ikhlas menerima ketetapan ini
Kerana ketika aku berseorangan tanpa teman di sisi
Aku yakin Kaulah sahaja teman yang sentiasa menemani
Sentiasa mendengar rintihan hatiku tanpa jemu
Betapa seninya didikanMu
Mendekatkanku kepadaMu
Dengan menciptakan semantik sepi ini
Kan ku hargai episod berseorangan hanya bersamaMu wahai Ilahi
* Teman dengarkanlah rintihan hati ini...
Riwayat wirakelana
11:18 PM

Saturday, July 16, 2005
Semalam, Hari Ini dan Esok
Semalam, Hari Ini dan EsokSemalam
Akulah DIA
Si Dia yang kau kata ‘segala-galanya’
Walaupun aku bagaikan kaca tidak berharga
Kau terima aku seadanya
Di matamu akulah permata
Di hatimu akulah yang bertahta
Kerana keikhlasanmu aku terima
Kerana ketulusanmu aku bercinta
Bahagia sungguh kita bersama
Hari ini
Kau tiada lagi disisi
Kerana keadaan, kau berubah hati
Walau sedekad cinta dipatri
Kau pinta aku pergi jangan dekati
Cintamu rapuh walau aku tegak berdiri
Cinta sejati kita hanya sekadar ilusi
Setiap hari bagai mimpi ngeri
Pergilah aku membawa diri
Pergi bersama luka dihati
Tak ingin aku, diri dihampiri
Setelah cinta aku, kau khianati
Esok
Mungkin langit kembali cerah
Pepohon ditaman bermekar indah
Mungkin hatimu kembali berubah
Atau rasa antara kita tiada sudah
Mungkin ini kehendak Allah
Segala yang berlaku ada hikmah
Mungkin itulah dikatakan lumrah
Adat bertemu kita berpisah
Walau apa kemungkinan aku pasrah
Hanya kepadaNya aku berserah.
*Dinukil pada December 2003. "prust" lagik...
Riwayat wirakelana
5:52 PM

Tuesday, July 05, 2005
Cetusan Rasa
Cetusan Rasa
Cinta memang indah dirasa
Segala janji diucap, seiya sekata
Setiap langkah diorak bersama
Sehari tak berjumpa, beribu tahun rasanya
Segalanya ‘kan dipertaruhkan, demi kebahagiaan bersama
Begitulah sumpah setia, janji orang bercinta
Setelah hampir sedekad kita bersama
Kau undurkan diri tiba-tiba
‘sekali air bah, sekali pantai berubah’
Hanya kerana aku ditimpa musibah
Kau pinta dipisah, kau menyerah kalah
‘kita merancang, Tuhan menentu segalanya
Kerana keadaan memaksa, berpisahlah kita
Andai takdir temukan kembali, bersamalah kita’
Begitu mudah kau definisikan cinta
Segala impian aku musnah
Fitrah dunia, aku gelisah
‘mandi tak basah, tidur tak lena’
Aku kecewa kau berdusta
Memang kita merancang, Dia tentukan segalanya
Tapi apakah kau lupa
Perancangan perlu disusuli dengan usaha
Tanpa usaha tak kan sampai ke mana
Lupakah dikau pada 3B kita
Bersabar, Berusaha dan Berdoa
Insya-Allah pasti Berjaya
Buat insan yang bercinta
Ingatlah, andai kita di persimpangan
Janganlah mudah mengaku kalah
Cinta yang sejati tak harus mudah goyah
Kata orang ‘ada hikmah di sebalik musibah’
Firman Allah yang bermaksud:
‘Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua kembali’- (Al-Anbiya: 35)
Begitu kerdil rasanya diri ini
Tiada cinta lebih sejati dari cinta Illahi*bukan step mat jiwang beb.. Cuma lepaskan "prust" jer...
Riwayat wirakelana
5:42 PM

Monday, July 04, 2005
Pantun Teman 2
Pantun Teman II
Pahit melihat kesakitan orang
Perit lagi bahu memikul
Ingin dibantu beban dikurang
Namun aku juga kadang kala ‘terpukul’
Usah sekali kita berputus asa
Janganlah kita menyalahkan Dia
Hidup didunia kitalah hamba
Merintih merayulah pada yg Maha Esa
Wahai teman yang amat dikasihi
Usah dikau terasa sangsi
Jalan perit telah kau lalui
Jalan kebahagiaan pasti dikau temui
Kita insan manusia biasa
Punyai kecacatan tiada sempurna
Segala terjadi tiada dipinta
Anggaplah ia penebus dosa
Si buta melihat tanpa mata
Si bisu berbicara tanpa berkata
Redhalah akan Qada’ dan Qadar-Nya
Usah dipersoal akan rahmat disebaliknya
Wahai teman yang sering terluka
Usah dikau terus berduka
Perjalanan kita jauh disana
Marilah diorak langkah bersama
Usahlah nasib kita persalahkan
Janganlah takdir kita persoalkan
Ayuh keyakinan semangat diungkit
Mari bersama diri dibangkit
Disebalik musibah tersemat hikmah
Dicelah kehampaan terselit harapan
Menelan yg pahit bukanlah mudah
Menikmati yg manis tiada berkekalan
Biarpun hitam menggelapkan malam
Cahaya rembulan menyinari jalan
Biarpun dihantui kisah silam
Itulah antara warna kehidupan
Bersabar, Berusaha, Berdoa itulah pegangan
Agar terpandu hala tujuan
Moga tercapai segala impian
Impian kelak menjadi kenyataan
Iringan doa pasti ku titipkan
Buat dirimu wahai teman
Moga sinar bahagia terang kelihatan
Moga pencarianmu dapat ditemukan…
* Pantun Teman 2 menjawab Teman 1.
Riwayat wirakelana
10:39 AM

Pantun Teman 1
Pantun Teman I
Dugaan menyinggah tiada henti
Rintangan demi cabaran bersilih ganti
Orang sekeliling hanya memerhati
Sengsara diri tiada siapa peduli.
Kiri kanan disepit tekanan
Depan belakang dibelenggu masalah
Bagai ikan lemas di daratan
Bilakah ia akan berakhir sudah?
Hatiku pilu mengapa entah
Fikiranku buntu tak tahu kenapa
Mungkin penat mengatur langkah
Langkah diorak entah kemana?
Teramat penat kaki melangkah
Beban dipikul tiada bersudah
Perlukah aku rasa terseksa
Atau mungkin aku hamba pilihan-Nya?
Dalam tangisan aku ukir senyuman
Dalam kepiluan aku nyanyi keriangan
Mengapa masih aku dalam kebingungan
Walau aku redha segala kejadian?
Dalam merenung hala tujuan
Aku termenung arah ketidak pastian
Dalam menyusun langkah kebahagiaan
Aku tersandung tunggul kedukaan
Keadaan memaksa aku menjadi begini
Hidupku bagai dalam ilusi ngeri
Inginku singkap segala menjadi mimpi
Mimpiku ungkap menjadi realiti
Biarlah aku pergi menyendiri
Membawa diri mencari erti
Erti yg masih aku belum mengerti
Punyai cita yg selama ini aku impi
Tika mencari erti kehidupan
Aku terjumpa cebisan silam
Cuba aku kutip jadikan cantuman
Yang jelas kelihatan hanyalah yang hitam
Wahai insan bernama teman
Hanya sekalung kasih dapat aku ucapkan
Budimu tulus tiada diragukan
Cukup disinilah segala pengorbanan
Hanya iringan doa aku pohonkan
Dari dirimu dihargai teman
Moga dikurnia nikmat keimanan
Agar dapat ku teruskan perjuangan…
* pantun teman 1 dan pantun teman 2 adalah ibarat dialog antara 2 orang sahabat. Satu bertanya dan lagi satu menjawab. satu berputus asa dan lagi satu membakar semangat. Kehadiran seorang sahabat memanglah penting dalam menemani perjalanan hidup kita. Merekalah yg boleh menaikkan kita dan mereka juga yang boleh menjatuhkan kita...
Riwayat wirakelana
10:34 AM

Friday, July 01, 2005
Pantun Hati
Pantun HatiKau sinari hidupku tanpa diundang
Kau menyintai aku penuh kasih saying
Orang sekeliling sering memandang
Kitalah kekasih yang akan sampai ke jinjang
Hampir sedekad kita berjuang
Harungi bersama halangan merintang
Sumpah setia terus dipegang
Mengapakah kini cinta terhalang?
Disaat dikau amat ku perlukan
Kau pinta kita dipisahkan
Seorang diri aku kau tinggalkan
Bertemankan cubaan yang mencabar keimanan
Kerana keadaan, kau berubah hati
Keadaan memaksa, kau mungkiri janji
Berpurnama sudah kau tiada disisi
Hidupku bagai pagi tanpa mentari
Sedarkah apa yang telah kau lakukan?
Impian kita telah kau musnahkan
Mengapakah perasaan aku, kau permainkan?
Mengapakah keadaan kau persalahkan?
Sungguh tak terdaya untuk ku terus perdaya
Tiada guna terus setia andai dia tiada rasa
Puas sudah aku bertanya
Pada siapa aku berdamba
Jodoh pertemuan ditentukan tuhan
Bertemu berpisah adat kehidupan
Walau pahit bagiku telan
Aku hormati segala keputusan
Setiap langkah kini ku orak sendiri
Dirimu tidak sekali ku musuhi
Aku pasrah takdir Illahi
Impian kini hanya memori
Patutkah aku kesal apa terjadi
Haruskah aku terus memencil diri
Telah aku cuba mengubati hati
Tapi mengapa aku masih menanti
Pergilah dikau wahai memori
Pergilah jauh usah kembali
Agar dapat aku bangun berdiri
Ingatan pedih tiada menghantui
Biarlah diri ini terus menyepi
Tidak ingin sekali dihampiri
Bukan niat membawa diri
Sekadar ingin luka pulih kembali
Teman, cinta adalah sebuah seni perasaan yang sukar difahami apa lagi dimiliki
Kita hanya insani yg berserah pada ketentuan Illahi
Berserah bukanlah menyerah…
Besabar menempuhi segala halangan
Berusaha dengan kegigihan
Berdoalah penuh keyakinan
Andai apa dihajatkan tiada kesampaian,
Itulah dinamakan ketentuan Tuhan.
* Pantun hati dinukil pada March 2003.
Riwayat wirakelana
9:33 AM
