Monday, July 18, 2005
Ku damba cermin persahabatan
CERMIN PERSAHABATAN
Ke mana pun hati yang lara dibawa berlari
Ke mana pun hati yang terluka dibawa menyelami
Ke puncak gunung atau ke dasar jeladiri
Mungkinkah terpancar ketenangan pada sanubari….
Jiwa berkelana tanpa tentu arah
Sirnalah kegembiraan pada wajah
Senyuman hanya pada lahiriah
Akal yang pernah cerah
Kini disurami kelam
Kelam suram
Kekata kejam menghunjam
Aduh mencengkam!
Menjadikan hati yang selama ini terlalu rela berkorban….
Rasa dipersiakan
Menjadikan hati yang sentiasa sedia ada menghulurkan…
Tergaris dan tergores
Fitrah insani ingin dihargai oleh insan bergelar teman
Namun dalam bertungkus-lumus menghidupkan unggun harapan
Kepada jiwa nan ketandusan
Berlaungan dalam dasar hatiku selaku manusia biasa
Meskipun tiada jelas kedengaran oleh mereka
Jeritan batin tertanya-tanya….
Apakah diri ini diciptakan sekadar untuk dipersiakan?
Apakah diri ini harus menempuh suratan berseorangan?
Apakah diri ini sekadar genting yang melindungi?
Dibasahi lebatnya hujan yang menari-nari
Disinari hangatnya pancaran mentari setiap hari
Namun tiada siapa yang sudi ambil peduli
Akan nasib genting yang menaungi
Kepada mereka yang kuambil peduli
Inginku bertanya meskipun tiada keberanian di hati
Kerana selama ini ketulusan yang didambakan
Kuharap biarlah dari lubuk hati kalian
Yang seharusnya cukup seni untuk merasakan
Kuharap biarlah dari jangkauan akal kalian yang memikirkan
Akan keperluan yang kudambakan selaku insan
Lantas kerana itu jeritan batin ini tidak pernah mahu menzahirkan
Kerana kupercaya… ketulusan pengorbanan pengertian
Adalah bersalingan
Bukan hasil daripada suatu permintaan
Jauh sekali suatu tuntutan
Hanya sekadar mendambakan pancaran
Tatkala menghadapkan diri pada cermin persahabatan
Namun hingga kini masih kehampaan
Kerana ketika aku menghadapkan diri pada cermin itu
Kalian entah di mana tanpa kutahu
Berdiri kaku aku di situ
Minda dan jiwa membeku
Dalam longlai kaki berlari
Berbisik lagi di sanubari….Tidakkah wahai temanku, sudi menerima kecacatan diri
Sukarkah suatu kesudianmu, memaafkan kesilapan yang kucalari
Mahalkah harga kesudianmu mengambil tahu semantik senduku yang sepi
Dalam menghitung hari
Kuberserah kepada Zat yang Maha Mengasihani
Kerana hati-hati kami milikmu Ilahi
Andai aku ini diciptakan untuk mereka
Ikhlaskanlah jiwa dalam segala pengorbanan meskipun sengsara
Andai mereka tidak diciptakan untukku semata
Ikhlaskanlah diri ini dalam ikhlas menerima ketetapan ini
Kerana ketika aku berseorangan tanpa teman di sisi
Aku yakin Kaulah sahaja teman yang sentiasa menemani
Sentiasa mendengar rintihan hatiku tanpa jemu
Betapa seninya didikanMu
Mendekatkanku kepadaMu
Dengan menciptakan semantik sepi ini
Kan ku hargai episod berseorangan hanya bersamaMu wahai Ilahi
* Teman dengarkanlah rintihan hati ini...
Riwayat wirakelana
11:18 PM
