Monday, August 29, 2005
Nurkasih
NURKASIH
Teman,
andai dapat ku baca dan selidiki seni hatimu, mungkin aku akan mengerti apa yang kau lalui. Mungkin aku akan memahami isi hati. Mungkin aku dapat ringankan masalah yang membebani. Tapi aku juga insan manusiawi, yang masih tercari-cari erti hakiki. Namun apa jua kemungkinan, aku pasti tuhan akan sentiasa bersamamu disisi. Memimpin, mendidik, membantu. Kerana itu semua bukan tugasku. Hanya tuhan yang Maha Tahu. Hanya tuhan yang mampu. Aku hanya duduk termanggu, mengharapkan belasNya sepertimu...
Tuhan,
jangan dibebankan diri ini dengan nikmat yang Engkau berikan. Jangan lalaikan diri ini dengan kelebihan yang Engkau anugerahkan. Berat sungguh amanah yang kau berikan. Berilah aku dan sahabatku pedoman dariMu. Bantulah aku agar aku dapat bantu mereka yang memerlukan. Bantulah sahabatku. Dia perlukan pimpinanMu. Dia dambakan kasih sayangMu. Dia inginkan ketenangan. Dia perlukan segala yang aku perlukan. Andai aku tidak layak bantu mereka, Engkau sajalah mendidik mereka Tuhan. Kerana aku juga seperti mereka. Dahagakan NurkasihMu..
Tuhan,
walau temanku tiada disisi buat masa ini, Engkau sentiasa bersamaku setiap masa dan detik. Engkau tidak pernah meninggalkan aku hingga aku tidak kenal akan erti rindu terhadapMu. Lembutkanlah hati kami ini Tuhan. Siramilah hati kami dengan airmata kehambaan. Sinarilah ia dengan Nurkeimanan. Engkau celikan mata kami yang sering rabun akan nikmatMu tuhan. Engkau petahkan lidah kami berzikir memanjat kesyukuran terhadapMu. Jangan persiakan rintihan kami tuhan. Hanya Engkau yang maha Mendengar...
Andai kami terluka dengan duri kehidupan, engkau balutilah dengan kasihMu. Andai kami hilang arah tujuan, engkau pimpinlah ke pangkal jalan, andai kami kehilangan, engkau kembalikan keyakinan...
*
Alangkah sukar mencangkul karun bahagia yang tertimbus dek tanah derita. Di kala pintu langit terbuka, ada yang Maha, mendengar syahdunya rintihan hati, lemahnya jiwa berserah. Mengasihanimu infiniti sifatnya... kekadang Allah hilangkan matahari, Dia datangkan petir dan kilat. Puas kita menangis mencari kemana matahari. Rupa-rupanya, Allah nak hadiahkan kita pelangi...
Riwayat wirakelana
4:14 PM
